Berikut ucapan penuh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berhubung insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ, Selangor kepada Dewan Rakyat. Tuan Yang Di-Pertua, 1. Saya ingin memberi penerangan kepada Dewan Yang Mulia ini ihwal satu isu penting yang menarik perhatian rakyat pada masa ini, iaitu insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, Subang Jaya, Selangor pada 26 dan 27 November 2018.Terlebih dahulu saya ingin menjelaskan kronologi insiden ini. Kronologi insiden 2. Pada 26 November 2018 sekitar jam 2.40 pagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya telah mendapatkan panggilan daripada orang awam mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield. Sejurus selepas mendapatkan laporan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah mengarahkan semua unit yang berada di lapangan menuju ke tempat kejadian. 3. Pada jam 2.50 pagi, 4 buah MPV polis tiba di tempat insiden tetapi telah dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki India. ...